Persatuan Psikiatri Malaysia yang dianggotai oleh majoriti pakar-pakar psikiatri di Malaysia melahirkan rasa kesal di atas tajuk artikel Berita Minggu bertarikh 15 Mei 2011 yang berbunyi ‘Tuntut cerai, kelar tangan: Wardina Safiyyah cerita gila meroyan selepas lahir anak kedua’.
Peranan yang dimainkan oleh pihak media dalam mempromosikan isu kesihatan mental seperti kemurungan sememangnya satu yang sangat diperlukan, datang dengan satu tanggungjawab sosial yang tinggi kepada masyarakat. Artikel tersebut yang ditulis mengenai Wardina dan isu kemurungan pada dasarnya tentulah merupakan satu inisiatif bermotif positif. Namun pihak media perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan istilah-istilah yang sensitif dan provokatif. Dibimbangkan banyak fakta yang cuba disampaikan melalui artikel yang ditulis telah dibayangi dan ditelenggami oleh tajuk sensasi yang boleh disalahtafsirkan.
Penampilan selebriti bercakap tentang kemurungan
Di Malaysia, mungkin kita belum pernah mendengar selebriti yang sedia berbicara secara terbuka mengenai masalah kemurungan sebelum Wardina. Langkah Wardina perlu disambut dengan baik dan tidak seharusnya menimbulkan kontroversi atau disensasikan sehingga boleh menimbulkan persepsi yang negatif.
Sebenarnya penampilan personaliti yang sedia berkongsi mengenai pengalaman begini bukan perkara baru di negara-negara maju. Penampilan selebriti sebegini dilihat sebagai satu langkah yang amat murni yang boleh mencetuskan kesedaran dan perasaan ingin tahu masyarakat kepada gejala kemurungan dan kaedah perawatannya.
Aktres terkenal Brooke Shield, setelah mengalami sendiri pengalaman pahit kemurungan selepas melahirkan anaknya yang pertama pada tahun 2003, sering tampil memperkatakan isu kemurungan ini di forum, rancangan bual bicara di televisyen dan temubual dengan majalah dan akhbar. Malah beliau turut menulis buku ‘Down came the rain: My journey through postpartum depression’.
Terbaru, aktres pemenang Anugerah Oskar, Gwyneth Paltrow menceritakan pengalaman getir melalui episod kemurungan selepas melahirkan anak kedua. Beliau merasakan seumpama menjadi ‘mayat hidup’ yang menderitai rasa kosong, rasa bersalah, rasa gagal dan rasa tidak berguna menjadi seorang ibu.
Perkongsian sebegini ternyata banyak membantu usaha para professional bidang kesihatan mental meningkatkan kesedaran orang ramai seterusnya meningkatkan kualiti kesihatan dan akhirnya kualiti hidup masyarakat.
Idola wanita kontemporari dan Hari Kesedaran Kemurungan
Persatuan Psikiatri Malaysia sangat mengalu-alukan kesudian Wardina hadir ke sidang media sempena Hari Kesedaran Kemurungan yang diadakan pada 24 April 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebagai personaliti yang menjadi idola wanita kontemporari di Malaysia, sering memperkatakan isu kekeluargaan, kewanitaan dan keibubapaan, penampilan Wardina dalam membicarakan isu kemurungan selepas bersalin ini dilihat sangat tepat sekali. Ini ditambah lagi dengan kesediaan Wardina berkongsi pengalaman peribadi.
Wardina sangat positif semasa menerima jemputan tersebut kerana yakin perkongsian beliau dapat membuka mata masyarakat tentang gejala kemurungan dan pelbagai kaedah rawatan untuk kemurungan. Ramai wanita yang merana akibat gejala kemurungan tidak memahami apa yang mereka deritai, tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan di mana boleh mendapat bantuan.
Dikenali berimej sopan, berketrampilan sebagai wanita berkarier yang meletakkan keluarga sebagai keutamaan, sentiasa berani dan lantang bersuara – sudah tentu pendedahan Wardina bahawa beliau sendiri pernah melalui satu tempoh kemurungan yang memakan masa berbulan-bulan dengan segala kesukaran mengatasi gejala-gejala yang dialaminya itu agak mengejutkan banyak pihak. Hakikatnya kemurungan tidak mengenal sesiapa dan boleh menimpa sesiapa pun juga. Wardina mahu mesej ini menyebabkan ramai wanita terpanggil untuk tampil mendapatkan bantuan dan rawatan dan bukannya membiarkan diri terus-terusan dalam kemurungan.
Kontroversi
Mungkin kita boleh memahami keperluan akhbar meletakkan tajuk-tajuk sensasi yang boleh menarik perhatian pembaca. Namun kita juga sangat memahami kekecewaan Wardina apabila melihat tajuk artikel yang boleh mencemarkan nama baik beliau dan turut menjatuhkan maruah keluarganya. Malah pakar-pakar psikiatri yang terlibat secara langsung menganjurkan Hari Kesedaran Kemurungan juga tidak bersetuju dengan apa yang telah diperbesar-besarkan berbanding dengan mesej sebenar yang cuba disampaikan.
Kontroversi yang dicetuskan dapat dilihat melalui reaksi pembaca akhbar dalam talian. Ada yang mempertikaikan keperluan pendedahan tersebut, ada yang bersimpati, ada yang tidak percaya dan ada yang cuba membela. Perkara ini boleh dielakkan sekiranya berita tersebut disajikan dalam konteks yang lebih tepat dan tidak disensasikan dengan agak keterlaluan begitu.
Fakta dan istilah yang tepat
Penggunaan istilah gila meroyan juga sangat tidak tepat kerana ia merujuk kepada keadaan psikosis selepas bersalin (‘postpartum psychosis’) dan bukan kemurungan seperti yang dialami oleh Wardina. Istilah tersebut juga tidak harus digalakkan penggunaannya kerana bersifat negatif, selain hanya mengundang stigma dan menyebabkan masyarakat memandang serong kepada pesakit. Stigma inilah yang akhirnya menjadi penghalang kepada pesakit untuk tampil mendapatkan rawatan. Sebaliknya mereka akan memilih untuk mendiamkan diri dan memendam perasaan murung kerana khuatir apa pandangan masyarakat dan khuatir dilabelkan dengan pelbagai gelaran yang tidak enak didengar.
Sekiranya penekanan diberi kepada aspek negatif seperti yang tertera pada tajuk artikel, pakar-pakar psikiatri merasa bimbang impak yang berlaku lebih menjurus kepada penerimaan yang negatif daripada masyarakat. Realitinya yang negatif itu sedikit dan tidaklah signifikan, sedangkan banyak aspek positif yang boleh dipelajari melalui pengalaman Wardina seperti cara beliau mendapatkan sokongan, bagaimana beliau berjaya menangani kemurungan, cara beliau mencegah berlaku kemurungan berulang pada kelahiran seterusnya dan nasihat beliau agar wanita mendapatkan rawatan.
Mesej penting
Kemurungan selepas bersalin atau dikenali juga sebagai kemurungan posnatal atau kemurungan postpartum menyerang sekitar 7-25 peratus wanita. Pepatah mengatakan, sekiranya seorang wanita gembira maka seluruh keluarganya akan gembira tapi sekiranya seorang wanita bersedih seluruh keluarganya akan bersedih dan mungkin porak peranda! Oleh itu sangat penting agar isu kemurungan ini difahami oleh para wanita, para suami, ahli keluarga dan masyarakat dari sudut yang positif.
Dr. Abdul Kadir bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia yang juga merupakan salah seorang ahli panel dalam sidang media pada Hari Kesedaran Kemurungan menegaskan yang mesej penting yang ingin disampaikan ialah “kemurungan posnatal adalah disebabkan oleh perubahan bahan kimia di dalam otak, dan kemurungan ini boleh dirawat. Kemurungan postnatal bukan disebabkan kelemahan individu atau kegagalan melaksanakan tugas sebagai seorang ibu.”
Sekiranya seorang wanita yang baru bersalin merasa murung atau hilang minat terhadap kehidupan dan gejala ini berpanjangan melebihi dua minggu, beliau mungkin mengalami kemurungan posnatal. Gejala lain termasuklah sering merasa diri tidak berguna, tidak dapat memberi tumpuan dan mengalami gangguan selera makan atau gangugan tidur. Pada peringkat kemurungan yang ringan, pesakit boleh dirawat dengan kaedah kaunseling dan bantuan sokongan social. Pada peringkat yang lebih teruk di mana si ibu mengalami gejala seperti keinginan mencederakan diri atau mencederakan bayi beliau memerlukan rawatan ubat antikemurungan yang akan memulihkan ketidakseimbangan bahan-bahan kimia di dalam otak.
Dihujani luahan hati wanita
Usaha murni Wardina nampaknya telah membuahkan hasil kerana beliau pula yang dihujani mesej daripada ramai wanita yang mengadu mengalami kemurungan selepas bersalin melalui laman sosial dan emel! Ini merupakan petunjuk tentang betapa ramainya wanita yang mengalami gejala ini di luar sana dan sedang mencari-cari jawapan kepada kemelut yang dilalui. Wanita ini merasa mereka dapat menyelami mesej Wardina dan melihat diri mereka dalam pengalaman yang Wardina lalui. Sebahagian mereka merasa lega dapat memahami apa yang sedang mereka lalui dan mengetahui mereka tidak keseorangan menderitai gejala kemurungan selepas melahirkan.
Sehubungan dengan itu, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, Pengerusi Kesihatan Mental Wanita, Persatuan Psikiatri Malaysia baru-baru ini melancarkan laman sosial rasmi berhubung isu kemurungan postnatal di mana para wanita boleh memberi sokongan satu sama lain di samping mendapat pandangan pakar. Laman social ini boleh diakses di alamat diperlukan di sini
Diharapkan Wardina Safiyyah terus tabah memperjuangkan isu-isu kewanitaan yang sangat dekat di hatinya. Diharapkan juga penulis artikel Suzan Ahmad menerima pandangan ini sebagai satu yang membina lagi mematangkan dan terus produktif tanpa serik menghasilkan penulisan yang bermanfaat. Kita semua perlu berganding bahu demi kesihatan mental wanita untuk kebaikan semua. Jika tangan yang mengayun buaian itu gembira, sudah pasti dunia akan jadi lebih bahagia, tenang dan sejahtera untuk kita!
Dr. Umi Adzlin Silim
Mewakili Persatuan Psikiatri Malaysia
aku takpenah alami mende gini,lagpon aku enjoy pantang sorang2 mengikut rules mak aku. kental je aku cuma tang part xleh marah anak tu xleh ikot.asik terjerit gak kat abedam.die dah big boy skrg.
die dah pandai pkai suar sendiri.perfect.pandai kan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan